e-Dakwah

Sampaikan… Walaupun satu ayat…

Tanggungjawab Penama Bahagi Harta Pusaka

Posted by Saiful di 10 Julai 2009

Soalan:
BAPA saya sudah meninggal dunia beberapa bulan lalu dan meninggalkan sebuah rumah serta sejumlah wang tunai. Bapa saya meninggalkan seorang isteri, dua anak lelaki dan dua perempuan. Arwah ayah menamakan ibu sebagai penama kepada wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan memiliki polisi insurans yang meletakkan ibu saya sebagai penama. Bagaimana cara untuk melantik pentadbir? Apakah kedudukan wang KWSP dan wang insuran arwah bapa termasuk sebagai harta pusaka?

Hisham,
Klang.

Jawapan:
Peruntukan berkaitan pembahagian harta pusaka dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: “Orang lelaki ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat. Dan orang perempuan pula ada bahagian daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak harta yang ditinggalkan itu mengikut bahagian ditetapkan (Allah).” – (Surah An-Nisa’, ayat 7)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Serahkan harta pusaka kepada pemiliknya. Jika ada baki, serahkan kepada kaum keluarga lelaki terdekat.” – (Hadis riwayat Bukhari)

Harta peninggalan hendaklah dibahagikan berdasarkan kepada yang berhak menurut hukum pewarisan dalam Islam selepas ditolak semua hutang termasuk kos penyelenggaraan jenazah dan kos pentadbiran harta pusaka.

Bagi mentadbir harta pusaka, satu Surat Kuasa Mentadbir hendaklah diperoleh daripada Mahkamah Tinggi Sivil bagi harta yang lebih daripada RM600,000 atau melalui Pejabat Tanah di Bahagian Harta Pusaka Kecil bagi harta peninggalan bernilai kurang daripada RM600,000 dengan syarat salah satu daripada harta peninggalan arwah adalah harta tak alih sama ada rumah, tanah kebun atau lain-lain harta seumpama dengannya.

Urusan mendapatkan Surat Mentadbir Harta Pusaka akan menjadi mudah apabila semua waris mempunyai kata sepakat melantik seorang ahli waris sebagai pentadbir kepada harta pusaka si mati .

Kebanyakan kes harta pusaka tertangguh di mahkamah berpunca daripada tiada persetujuan antara waris untuk melantik pentadbir harta pusaka. Pentadbir harta pusaka adalah pemegang amanah atau wasi yang bertanggungjawab mentadbir harta pusaka di mana antara tugasnya ialah memaklumkan kematian kepada pihak berwajib.

Ini termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri, pihak bank di mana arwah mempunyai akaun simpanan, pihak insurans jika ada dan lain-lain pihak berkenaan bagi memastikan kematian si mati dimaklumi untuk diambil tindakan sewajarnya.

Pentadbir juga bertanggungjawab melunaskan hutang si mati dan urusan itu dapat dilakukan selepas waris mendapat kuasa sebagai pentadbir kerana seorang pentadbir berhak mengeluarkan wang simpanan atau mencairkan harta bagi membayar hutang sebelum membahagikan harta pusaka kepada waris yang berhak.

Perlu diingat, kuasa pentadbir adalah tertakluk kepada Akta Probet dan Pentadbiran 1959 dan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955. Jika berlaku penyelewengan terhadap harta pusaka si mati, pihak tidak berpuas hati boleh memfailkan bantahan bagi melantik pentadbir baru.

Mahkamah Syariah adalah berbidang kuasa seperti diperuntukkan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri bagi menentukan orang yang berhak menurut hukum syarak untuk mendapatkan bahagian daripada harta pusaka si mati dan seterusnya mengeluarkan Sijil Faraid bagi membolehkan pentadbir harta pusaka menjalankan tugas pembahagian harta pusaka.

Memandangkan isteri arwah masih hidup dan mempunyai anak, maka bahagian isteri arwah adalah satu perlapan bahagian tidak termasuk hak harta sepencarian yang wajar ditolak terlebih dulu sebelum harta arwah difaraidkan.

Anak lelaki memperoleh dua kali ganda daripada bahagian anak perempuan. Walaupun arwah menamakan isteri sebagai penama KWSP, penamaan itu tidaklah bermaksud isteri berhak ke atas keseluruhan wang KWSP, sebaliknya penamaan hanyalah sebagai pentadbir bertanggungjawab untuk membahagikan wang berkenaan kepada waris yang berhak.

Ini seperti diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 1973, wang KWSP, bank simpanan pejabat pos, bank dan insurans perlu dibahagikan mengikut faraid dan penama adalah orang melaksanakan pembahagian wang mengikut faraid.

Oleh demikian sewajarnya waris berlapang dada dan bersepakat dalam melantik pentadbir bagi mempercepatkan proses pembahagian harta pusaka.

Jawapan disediakan Penolong Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Marlina Amir Hamzah

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: